KEGIATAN suami isteri menghasilkan dokumen palsu terbongkar selepas ditahan dalam Ops Serkap dilaksanakan Pejabat Imigresen Sandakan, semalam.

Pasangan berkenaan dipercayai melakukan kegiatan itu sejak setahun lalu dan berselindung di sebalik perniagaan runcit di Batu 2 1/2 Jalan Utara di Sandakan.

Mereka dipercayai menjual dokumen palsu dengan harga antara RM50 hingga RM230 dan antara dokumen dipalsukan termasuk buku pasport, buku rekod kesihatan, surat perakuan nikah dan beberapa dokumen lain.

Dalam serbuan 12.30 tengah hari itu, suspek, 31, yang juga warga tempatan berada di kaunter bayaran premis mereka, manakala isterinya, 28, yang juga warga Indonesia berada di sebuah bilik dilengkapi komputer, pengimbas dan pencetak.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Musa Sulaiman, berkata serbuan dibuat ke atas premis itu selepas menerima maklumat daripada bahagian risikan.

“Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Imigresen untuk siasatan lanjut menerusi Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 kerana kesalahan mengubah atau membuat dokumen palsu.

“Selain pelbagai jenis dokumen palsu, turut dirampas adalah komputer, pengimbas dan pencetak yang disyaki digunakan untuk mencetak dokumen palsu,” katanya.

Musa berkata, suspek lelaki dilepaskan dengan jaminan polis, manakala suspek kedua masih ditahan reman mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 – hmetro