IPOH, 8 Julai – Kerajaan negeri Perak memberi insentif wang tunai RM5,000 masing-masing kepada tiga atlet kelahiran negeri itu yang akan bersaing pada temasya Sukan Olimpik Tokyo, bermula 23 Julai ini.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, insentif itu diberi kepada dua atlet terjun Leong Mun Yee serta Cheong Jung Hoong dan Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak).

Menurutnya, kerajaan negeri Perak amat berbangga dengan pencapaian tiga atlet kelahiran negeri itu yang akan mewakili negara ke temasya tersebut dan berpotensi besar memenangi pingat.

“Insentif ini bertujuan untuk memastikan atlet-atlet negara kelahiran negeri Perak tidak terpinggir dan sentiasa mendapat sokongan kerajaan negeri,” katanya ketika program sembang bersama atlet negara kelahiran Perak & pemberian insentif kewangan kepada atlet ke Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, secara maya, hari ini.

Khairul Shahril berkata, bantuan itu adalah kesinambungan daripada program terdahulu dengan memberi inisiatif berdasarkan peringkat kejohanan / temasya sukan yang disertai oleh para atlet.

Menurutnya, bantuan itu terbahagi kepada dua iaitu bantuan wang saku
ke penyertaan kejohanan dan insentif kemenangan pingat di temasya sukan / kejohanan dunia / badan sukan dunia yang diiktiraf.
 

Katanya, dengan bantuan itu, para atlet akan lebih bermotivasi dan bersemangat dalam memberi saingan di dalam temasya yang berprestij itu nanti.

“Pihak kerajaan negeri Perak berharap para atlet akan membawa pulang
pingat emas pertama olimpik buat negara,” ujarnya.

Sementara itu, Jung Hoong dan Nur Suryani berkata, mereka akan memberi persembahan yang terbaik pada temasya itu.

Mun Yee yang diwakili abangnya juga mahu memberi yang terbaik, lebih-lebih lagi ini adalah temasya terakhir baginya.

Temasya Sukan Olimpik 2020 akan bermula pada 23 julai hingga 08 Ogos 2021 di Tokyo, Jepun.

Seramai 30 orang atlet Negara telah layak beraksi di Temasya tersebut melibatkan sukan terjun, renang, badminton, berbasikal, gimnastik, gimrama, golf, memanah, menembak, olahraga dan pelayaran.