MELAKA 26 Nov : Lapan muka baharu ditampilkan dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini.

Mendahului senarai itu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu memegang portfolio Exco Perancang Ekonomi, Kewangan Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga ADUN Tanjung Bidara Datuk Ab Rauf Yusoh pula memegang portfolio Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan.

Portfolio Kesihatan dan Anti dadah negeri yang sebelum ini dipegang oleh ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman kini diambil alih oleh wakil rakyat muda, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga ADUN Merlimau.

Rahmad kemudian dilantik memegang portfolio Exco, Pengangkutan,Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.

ADUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis kekal memegang portfolio Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan manakala portfolio Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan disandang oleh wakil rakyat tertua, Datuk Kalsom Nordin.

Selain itu, ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan dilantik sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar dan calon tunggal MIC yang juga Adun Gadek VP Shanmugam memegang jawatan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dilantik sebagai Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani manakala Adun Paya Rumput, Datuk Rais Yasin memegang portfolio Exco Pendidikan dan Teknologi.

Dalam pada itu, Adun Machap Jaya yang juga Adun MCA Ngwe Hee Sem, memegang portfolio Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna.

Sulaiman turut berkata, beliau percaya barisan Exco yang dilantik ini mampu menggerakkan pentadbiran kerajaan negeri seiring dengan manifesto parti yang bertemanakan Kestabilan Demi Kemakmuran.

“Sudah pasti mereka yang dilantik mampu menggalas tanggungjawab dan menunaikan manifesto serta Aku Janji Barisan Nasional (BN) yang ditawarkan sebelum ini.

“Tentunya barisan Exco ini juga dapat memastikan semua janji itu dilaksana mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

-AWANI