IPOH, 6 DIS : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak semalam.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Abd Rahim bin Mohamad Nor berkata Ahmad Faizal menyembah maklum berkenaan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak telah terjejas secara langsung berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal (2) perkara XVI (6), Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Duli Yang Maha Mulia menzahirkan titah terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Faizal yang telah melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018, setelah mendapat perkenan Baginda dua kali mengangkat sumpah jawatan, kali pertama pada 12 Mei 2018, dan kali kedua pada 13 Mac 2020.

“Baginda turut menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan atas perkhidmatan yang telah diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka,” memetik kenyataan itu.

Semalam, Sultan Nazrin telah menerima menghadap Ahmad Faizal yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Chenderiang, pada jam 3.00 petang di Istana Kinta di sini.

Ia susulan Menteri Besar Perak ke-13 itu kehilangan sokongan majoriti dalam usul undi percaya semasa berlangsungnya Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri yang bersidang pada 4 Disember lalu.