IPOH, 10 JUN- Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan dana khas bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berjumlah RM 14.6 juta, yang disalurkan menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, dana khas itu bertujuan membantu mereka yang terjejas, susulan arahan PKP 3.0 baru-baru ini.

Katanya, bantuan itu antaranya membabitkan bantuan kelangsungan hidup untuk meringankan kesulitan yang sedang dihadapi oleh rakyat jelata yang kehilangan sumber pendapatan.

“Selain itu, tajaan pembelian peralatan rawatan dan perubatan yang diperlukan segera, bantuan pakej tablet dan data internet kepada usahawan kalangan asnaf dan para pelajar daripada keluarga miskin.

“Bantuan kepada pelajar di sekolah/pusat tahfiz, institut pengajian tinggi dan di luar
negara, peruntukan untuk kebajikan para petugas keselamatan di barisan hadapan.

“Bantuan kepada rumah-rumah anak yatim, rumah orang tua, warga emas dan
pusat gelandangan serta peruntukan untuk mempercepatkan program vaksinasi kepada kumpulan sasar yang perlu diutamakan,” katanya.

Ujarnya baginda turut memahami tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan yang memerlukan peralatan rawatan dan perubatan tertentu untuk menangani wabak.

Selain peka terhadap kebajikan para petugas pasukan keselamatan yang sedang berada di barisan hadapan.

Dengan itu ujarnya, baginda menitahkan MAIPk menyediakan dana khas bantuan untuk membiayai keperluan yang berkenaan.

“Bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM 10.9 juta,untuk ketua isi rumah (KIR) dan penerima bantuan kewangan bulanan MAIPK yang terjejas sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja, tidak dapat menjalankan perniagaan, diberi cuti tanpa gaji kerana majikan menghentikan operasi atau atas sebab yang munasabah.

“Tajaan peralatan kesihatan dan perubatan RM 606,000 berbentuk peralatan rawatan dan perubatan yang diperlukan segera oleh Jabatan Kesihatan Perak bagi kegunaan petugas medan di barisan hadapan.

“Sumbangan untuk petugas barisan hadapan COVID-19; RM400,000 disalurkan melalui agensi-berkaitan untuk keperluan kebajikan petugas barisan hadapan,” katanya.

Mohd. Annuar berkata selain itu, bantuan pakej tablet dan data internet untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara atas talian dan pelajar sekolah; RM1.5 juta.

Pemberian tablet dan data internet kepada usahawan daripada kalangan asnaf untuk menjalankan perniagaan secara atas talian; juga kepada pelajar tingkatan 5 daripada kalangan ketua isi rumah fakir miskin.

“Bantuan kebajikan pelajar luar negara RM200,000 untuk mahasiswa/mahasiswi Perak yang berada di luar negara (Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain).

“Sumbangan untuk Pusat Jagaan Anak Yatim, Rumah Orang Tua dan Warga Emas Islam; RM400,000, bantuan operasi pusat-pusat jagaan anak yatim, orang tua dan warga emas.

“Tajaan Bekalan Makanan Institusi Pendidikan; RM200,000, disediakan rizab untuk mahasiswa/mahasiswi di institusi pengajian tinggi dan pelajar-pelajar di sekolah/maahad tahfiz di negeri Perak yang perlu menginap di tempat pengajian semasa tempoh PKP,” katanya.

Katanya lagi, sumbangan ke Pusat Gelandangan Sementara di bawah kendalian kerajaan negeri berjumlah RM 200,000.

Ia khusus untuk membiayai keperluan asas penjagaan diri dalam bentuk alat kebersihan dan kesihatan, bahan ubatan serta makanan tambahan, semasa individu berada di pusat gelandangan.

Sementara itu ujarnya, Program Vaksinasi COVID-19 MAIPk berjumlah RM200,000.

“Disediakan rizab untuk membiayai belanja vaksinasi kepada kumpulan yang dikenal pasti perlu disegerakan mendapat vaksinasi,”katanya.

Jelasnya, MAIPk turut memberikan pengecualian bayaran sewa dan pajakan hartanah wakaf berjumlah RM98,000 dan hartanah baitulmal berjumlah RM50,000 di premis dan tapak perniagaan MAIPk bagi Jun 2021.

Ujarnya lagi, MAIPk akan mengkaji tempoh pengecualian bayaran sewa dan pajakan, tertakluk sama ada tempoh PKP 3.0 akan dilanjutkan.