IPOH, 24 Jun- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah dalam tempoh Perintah Kawalan pergerakan (PKP) di Perak.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk),Datuk Mohd Yusop Husin, baginda menzahirkan titah perkenan pelaksanaan mengikut tatacara dan panduan pelaksanaan ibadah yang disembah maklum.

”Tidak dibenarkan melakukan penyembelihan qurban dan aqiqah di mana-mana tempat kecuali Rumah Sembelih Negeri Perak (Abatoir) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

”Selain itu, dibenarkan dilaksanakan di perkarangan masjid atau surau dan premis yang dibenarkan oleh JPV,” katanya dalam satu pekeliling pada Khamis.

Katanya lagi, mana-mana agensi atau individu tidak dibenarkan melaksanakan ibadah qurban dan aqiqah melainkan dengan kerjasama pengerusi jawatan kuasa kariah atau surau untuk tindakan selanjutnya.

Ianya juga tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan.

”Dalam tempoh PKP bagi setiap satu sesi, jumlah petugas hendaklah tidak melebihi 20 orang termasuk ahli jawatan kuasa kariah atau surau dan jawatan kuasa qurban.

”Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan melaksanakan ibadah qurban dan aqiqah,” ujarnya.

Bilangan haiwan qurban dan aqiqah seperti berikut:

Hari pertama (10 Zulhijjah 1442H)
(Bagi Lembu / Kerbau)
Sesi 1 = Maksimum 4 ekor
Sesi 2 = Maksimum 5 ekor
(Bagi Kambing)
Sesi 1 = Maksimum 6 ekor
Sesi 2 = Maksimum 8 ekor

Hari kedua, ketiga dan
keempat
(11,12 dan 13 Zulhijjah 1442H)
( Bagi Lembu / Kerbau )
Sesi 1 = Maksimum 5 ekor
Sesi 2 = Maksimum 5 ekor
(Bagi Kambing)
Sesi 1 = Maksimum 8 ekor
Sesi 2 = Maksimum 8 ekor