IPOH, 23 Feb – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini bagi meninjau kesiapsiagaan fasiliti tersebut untuk perlaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri ini menjelang 1 Mac.

Keberangkatan Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin serta Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ding Lay Ming.

Ketibaan Sultan Nazrin pada jam 10.15 pagi dimulakan dengan sesi penerangan dan taklimat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Baginda kemudiannya meluangkan masa sekitar lebih 20 minit meninjau keadaan di PPV Stadium Indera Mulia sambil diiringi tetamu kehormat dan petugas kesihatan.

Sementara itu, Lay Ming ketika ditemui berkata PPV tersebut dilengkapi lapan stesen termasuk empat bilik vaksinasi yang mana ia membolehkan 800 orang menerima suntikan vaksin pada satu-satu masa.

Katanya proses penerimaan suntikan vaksin adalah melalui temu janji yang akan dibuat menerusi aplikasi MySejahtera.

“Selepas menerima suntikan vaksin tersebut, individu yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan akan ditempatkan di stesen pemerhatian selama 15 minit, dan 30 minit bagi penerima vaksin yang ada masalah kesihatan lain,” katanya.