KUALA KANGSAR, 10 DIS : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Saarani Mohamad atas pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu.

Baginda bertitah, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu selaras dengan Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

“Pada timbangan Beta, ADUN Kota Tampan itu boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu. 

“Beta menzahirkan tahniah kepada Datuk Saarani Mohamad yang telah diperkenankan untuk diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar kepada kerajaan beta,” titah baginda semasa Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Sultan Nazrin turut menzahirkan titah terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang telah melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar sejak 12 Mei 2018.

Titah baginda, ADUN Chenderiang itu menggalas tanggungjawab tersebut setelah mendapat perkenan sebanyak dua kali mengangkat sumpah jawatan sama iaitu kali pertama pada 12 Mei 2018 dan kali kedua pada 13 Mac lalu.

“Beta juga menzahirkan titah terima kasih kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atas perkhidmatan yang telah diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka,” katanya.

Krisis politik Perak bermula selepas Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti daripada ADUN dalam undi usul percaya terhadap beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu. 

Dalam undian daripada 59 ADUN itu, sebanyak 48 undi menolak usul percaya berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali. 

Usul itu dibawa ADUN Pengkalan Baru dari UMNO, Abd. Manaf Hashim dan sepatutnya dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak dalam persidangan DUN tersebut.

Bagaimanapun, dua usul tergempar yang dibawa Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji) kepada DUN diterima Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid. –  UTUSAN ONLINE