Kuala Lumpur: Sungai Tapah yang mengalir ke lembangan Sungai Perak dalam daerah Kinta, Perak dikenal pasti sebagai sungai paling bersih di negara ini.

Manakala, Sungai Rambai di Jenjarom yang mengalir ke lembangan Sungai Sepang di Selangor adalah sungai paling tercemar.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Jas) Norlin Jaafar berkata, dapatan itu adalah hasil sejumlah 672 sungai yang diawasi agensi kerajaan berkenaan pada tahun lalu.

“Daripada sejumlah 672 sungai yang diawasi, sebanyak 408 sungai berstatus bersih manakala 205 sungai dikategorikan dalam status sungai sederhana tercemar dan 59 lagi berstatus sungai tercemar.

“Indeks Kualiti Air (IKA) bagi Sungai Tapah adalah 95 iaitu sungai yang paling bersih manakala IKA bagi sungai paling tercemar iaitu Sungai Rambai adalah 21,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, IKA mengambil kira parameter Oksigen Terlarut (DO), Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Ammoniakal Nitrogen (NH3-N), Pepejal Terampai (SS) dan pH.

Menurutnya, kualiti air sungai yang sudah dinilai berdasarkan sejumlah 8,118 sampel air sungai diambil daripada 1,353 stesen pengawasan manual merangkumi 672 sungai.

“Program pengawasan kualiti air sungai ini bagi menentukan kualiti air sungai dan mengesan perubahan ke atas kualiti air sungai.

“Sampel air sungai diambil daripada stesen ditetapkan dan diukur kualiti secara in-situ serta dihantar ke makmal untuk dianalisis bertujuan menentukan kriteria dari segi fizik-kimia dan biologi.

“IKA digunakan untuk mengukur tahap pencemaran dan kesesuaian jenis guna air seperti yang digariskan oleh Standard Kualiti Air Negara,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan analisis mendapati BOD, (NH3-N) dan SS masih menjadi punca kepada pencemaran sungai.

Katanya, BOD yang tinggi kerap kali dikaitkan dengan pengolahan sisa kumbahan yang tidak berkesan, atau akibat pelepasan efluen daripada industri-industri pengilangan dan berasaskan pertanian.

“Punca utama NH3-N pula boleh dikaitkan dengan aktiviti penternakan dan kumbahan domestik manakala punca utama SS adalah kerja-kerja tanah dan aktiviti pembukaan tanah yang tidak teratur,” katanya.

Pada 2018 dan tahun lalu, Sungai Rambai di Jenjarom, Kuala Langat pernah mendapat liputan media tempatan dan antarabangsa apabila dikatakan menjadi ‘tong sampah dunia’ akibat sisa dihantar beberapa negara dilonggokkan di daerah itu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan tinjauan Harian Metro pada Januari tahun lalu, segelintir pemilik kilang haram memproses sisa plastik import di daerah itu mengaut untung ‘kotor’ dengan turut melakukan pembakaran terbuka untuk melupuskan sisa yang tidak boleh dikitar semula.

Aktivis alam sekitar, Danial Tay, 65, dilaporkan berkata, dia difahamkan pengusaha haram tempatan mempelawa rakan niaga di China untuk mengusahakan pelupusan di Malaysia termasuk di daerah Kuala Langat selepas negara republik itu mengeluarkan larangan import sisa plastik penghujung 2017.

“Mereka akan menyewa kilang pada kadar RM15,000 dan tanah kosong pula disewa RM6,000 untuk dijadikan tapak pelupusan sebelum memindahkan mesin ke sini (Malaysia) dari China.

“Mudah, dalam seminggu saja mereka sudah set-up kilang, tetapi yang sengsaranya kami penduduk tempatan dan rakyat Malaysia amnya apabila menerima lambakan sampah sisa plastik import,” katanya memetik laporan Harian Metro pada 22 Januari tahun lalu.

Jas agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air menerbitkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling pada setiap tahun membabitkan pengumpulan maklumat keseluruhan sepanjang tahun sebelumnya termasuk kualiti udara, sungai, air tanah, air marin dan pulau, inventori punca pencemaran serta pengkelasan secara total.

Masyarakat perlu kesedaran jaga kebersihan sungai

Air adalah sumber asli yang sangat penting dalam kehidupan manusia dan penjana kepada kehidupan di muka bumi.

Justeru, amatlah penting untuk memastikan sumber air dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Jas) Norlin Jaafar berkata, tanggungjawab penjagaan dan pengurusan sumber air tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata.

“Isu pencemaran air yang semakin ketara menuntut setiap komuniti dan anggota masyarakat untuk bersama-sama bertanggungjawab mengawal pencemaran sungai.

“Pihak industri perlu mematuhi sepenuhnya undang-undang yang berkuat kuasa. Efluen yang dilepaskan dari kilang hendaklah dipastikan mematuhi had piawai yang ditetapkan.

“Nasihat daripada Jas, sebaik-baiknya, pihak industri mengambil inisiatif bagi meminimakan penghasilan air buangan melalui penggunaan teknologi hijau ataupun mengambil pendekatan ‘zero discharge’ dengan menggunakan semula air buangan yang terhasil proses pengeluaran produk,” katanya.

Menurutnya, orang awam pula perlu membudayakan amalan hijau dalam kehidupan seharian bermula dari rumah seperti mengelakkan pembaziran air dan menjimatkan penggunaan air.

Norlin Jaafar.

Selain itu, katanya, kumpul air hujan (Rain Harvesting) untuk kegunaan seperti menyiram pokok dan mencuci lantai.

“Pastikan longkang di keliling rumah bebas dari sampah, amalkan 3R (reduce, reuse, recycle), sokong dan menyumbang kepada aktiviti berkaitan pemuliharaan sungai oleh komuniti setempat.

“Kitar semula minyak masak (hantar ke pusat pengumpulan) dan elakkan ia dibuang ke dalam sinki.

“Menggunakan bahan pencuci yang mesra alam dan pastikan air basuhan pakaian tidak dialirkan ke longkang awam,” katanya.

Norlin berkata, ia antara sebahagian inisiatif yang boleh diambil bagi mengurangkan pencemaran air.

Menurutnya, terdapat inisiatif lain boleh dilaksanakan di rumah, tetapi memerlukan kesedaran dan komitmen orang ramai untuk mengamalkannya.

“Di samping dapat menyumbang mengurangkan pencemaran air, inisiatif ini juga dapat menurunkan bil air dan dapat digunakan untuk manfaat atau kegunaan berfaedah lain.

“Selain itu, orang awam juga berperanan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang dipercayai boleh menyebabkan pencemaran.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyediakan platform untuk orang awam membuat aduan melalui laman sesawang www.doe.gov.my atau menghubungi talian aduan di 1-800-88-2727 untuk tindakan,” katanya.

INFOGRAFIK