KEGUNAAN kain kemban atau basahan dalam kehidupan seharian masih kurang mendapat publisiti yang meluas, sama sekali berbeza dengan kain batik dan pelikat.


Bagi yang kurang memahami maksud kemban atau basahan, ia membawa maksud memakai sarung ke paras dada (tidak berbaju) atau kain yang dipakai ketika mandi.


Jika anda perasan, penggunaan kain kemban ini banyak dipaparkan dalam filem-filem Melayu klasik, yang memperlihatkan si pemakai menyarungnya ketika mandi atau membasuh pakaian di tepi sungai.

Namun begitu, masih ramai yang beranggapan bahawa kain ini dikhususkan untuk kaum wanita semata-semata sedangkan ianya sesuai untuk semua jantina.

Boleh dipakai tidak mengira jantina

Siti Hawa Arif, 36, dari Ipoh mengakui dia berasa terpanggil untuk mengeluarkan produk kain kemban ini bagi memudahkan umat Islam menutup aurat ketika mandi.


Ibu tunggal kepada dua orang anak ini menjalankan perniagaan di kediamannya di Jelapang Baru, Ipoh, selain mengusahakan jualan burger di Manjoi pada sebelah petang.

“Sebelum hasilkan produk ini, saya buat kajian dulu dan dapati tidak ramai yang buat dan jual kain seperti ini di Malaysia. Daripada situ saya ambil keputusan untuk teruskan.


“Pendapat saya, kesedaran tentang kegunaan kain kemban atau basahan masih kurang. Malah topik ini kurang ditonjolkan atau didedahkan kepada orang ramai.

“Mungkin ada yang beranggapan topik ini tidak perlu dan tidak sesuai dihebahkan tetapi penting untuk amalan kendiri yang lebih sopan dan beretika, terbit sifat malu kepada diri sendiri dan taat perintah agama.


“Kalau solat kita ada telekung dan hendak tidur pun kita ada baju tidur, jadi bila mandi pun kena ada pakaian khusus iaitu kain kemban,” katanya kepada Suara Perak.


Menurut pengasas Hawa Jutawan ini lagi, produk yang diusahakannya sejak tahun 2014 ini menyediakan kain kemban untuk kanak-kanak, lelaki dan wanita.


Kain kemban ini mempunyai rekaan khas dan variati warna selain belahan bagi memudahkan pengguna membersihkan bahagian tertentu badan.


Ujarnya, ada empat jenis kain kemban yang bersesuaian dengan material dan kehendak pelanggan iaitu Retro (batik), Melati (ikat), Evergreen (sarung) dan Royal Edition (lekat).


“Saya dapati bila kita buat promosi kain ini, ramai kaum lelaki cakap ini (kain kemban) hanya untuk kaum wanita saja.


“Daripada situ kita beri kesedaran yang lelaki juga perlu menjaga bahagian sensitif tubuh badan daripada pandangan orang lain, ini yang kami mahu terapkan khususnya kepada kanak-kanak,” jelasnya.

Elak jenayah siber

Paparan kes-kes jenayah siber sebelum ini juga membuatkan Siti Hawa tekad untuk meuar-uarkan kepentingan kain kemban kepada orang ramai.


“Zaman sekarang semuanya di hujung jari dan tidak mustahil perkara mengaibkan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.


“Seperti rakaman mandi tanpa seurat benang boleh disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, CCTV tersembunyi di lokasi tertentu dan digunakan sebagai ugutan kepada mangsa,” katanya.

Bukan hanya untuk mandi

Memandangkan kemban dan basahan lebih sinonim dengan mandi, mungkin ramai yang masih tidak mengetahui ia boleh digunakan untuk berpantang, riadah dan rawatan alternatif.


“Ada yang kata tak perlu beli kain ini sebab boleh pakai kain batik atau pelikat, tetapi kelebihan produk ini ialah kain yang digunakan cepat kering dan tidak berbau hapak.


“Saya pernah dapat maklum balas daripada pelanggan berlainan bangsa yang mereka juga memerlukan kain seperti ini, ianya selesa digunakan.


“Selain mandi, kain kemban boleh dijadikan ‘nursing cover’, dipakai untuk kegunaan di dalam spa serta aktiviti berpantang seperti mandi herba dan bertangas,” katanya.

Fokus permintaan pelanggan

Siti Hawa kini fokus untuk meluaskan promosi dan hebahan kain kemban menerusi media sosial dan youtube.


Situasi yang tidak menentu termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan permintaan berkurangan, namun dia tidak berputus asa untuk memastikan produk ini dipasarkan sehingga ke luar negara.


“Produk saya ini sebenarnya sudah sampai ke negara Brunei, saya dan kawan-kawan pernah ke sana untuk pasarkan. Umum tahu orang Brunei lebih islamik, mereka menyambut baik jualan ini.


“Kalau di Malaysia, orang ramai sedar tentang kepentingan kain ini tetapi kurang sambutannya dan ramai rasa tidak perlu.


“Saya tidak akan berhenti hasilkan produk ini dan akan lebih banyakkan promosi di setiap platform yang ada. Saya juga akan fokus kepada rekaan kain kemban yang banyak permintaan,” katanya.


Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk ini boleh hubungi Siti Hawa di talian 013-5000966, Facebook dan Instagram (kainkemban).