IPOH, 5 MEI – Membenarkan orang Islam termasuk wanita yang tidak boleh berpuasa makan di khalayak ramai pada siang hari dalam bulan Ramadan merupakan satu bentuk istihanah penghinaan kepada syiar dan syariat agama.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, tindakan sedemikian sebagai tidak menghormati Ramadan yang termasuk dalam senarai perkara saling difahami oleh penduduk bukan bergama Islam dan boleh menimbulkan rasa kemarahan kepada umat Islam yang lain.

Menurutnya, banyak negara telah memperkanunkan kesalahan makan dan minum di khalayak ramai dalam bulan Ramadan seperti Maghribi, Kuwait, Arab Saudi, Iraq pada satu masa dahulu begitu juga Mesir, tidak terkecuali negeri-negeri di Malaysia yang memperuntukkan denda bagi kesalahan makan di khalayak ramai.

“Di Perak, Enakmen Jenayah (Syariah) 1992, Bahagian IV – kesalahan berhubungan dengan maruah agama dan institusinya, dalam Seksyen 24 di bawah tajuk ‘Tidak menghormati Ramadan’ bahawa seseorang yang pada siang hari di dalam bulan Ramadan itu menjual apa-apa makanan, minuman atau tembakau kepada seseorang yang beragama Islam untuk dimakan, diminum atau dihisap dengan serta-merta.

“Atau dengan terang-terang di tempat awam didapati sedang makan, minum atau menghisap tembakau, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden empat wanita bertudung beragama Islam tidak berpuasa dan makan di sebuah restoran yang dipercayai di Singapura sepertimana tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menerusi video berdurasi satu minit yang tersebar itu menunjukkan seorang wanita bertindak merakam sambil menegur keempat-empat orang wanita berkenaan, namun berlaku perdebatan antara mereka.

Zamri berkata, galakan supaya wanita-wanita yang tidak boleh berpuasa untuk bebas makan di khalayak ramai secara terbuka di restoran adalah satu galakan untuk saling tidak menghormati kehendak majoriti hamba-hamba ALLAH yang sedang berusaha untuk kembali memperoleh hak asasinya sebagai hamba ALLAH yang tulen.

Justeru katanya, saranan supaya jangan mempertikai hak asasi sama ada turut berpuasa atau tidak adalah amat janggal jika dilihat kepada falsafah dan maqasid mengapa orang Islam wajib berpuasa beramai-ramai pada Ramadan iaitu untuk mengembalikan hak asasinya untuk taat kepada Tuhan yang menciptakannya.

“Puasa dalam bulan Ramadan adalah salah satu bentuk revolusi membebaskan manusia daripada hamba hawa nafsu kepada hanya menjadi hamba ALLAH.

“ALLAH memilih umat Islam di seluruh dunia termasuk 60 peratus umat Islam di Malaysia melakukan ibadah puasa ini serentak di dalam bulan Ramadan kerana keberkesanan revolusi ini terserlah jika ia dilakukan secara serentak,” katanya.

Beliau berkata, segala ibadah dalam Ramadan ini sewajarnya mengarah kepada memperkukuhkan ikatan hamba dengan Tuhannya dan memperbaiki hubungan sesama manusia.

Menurutnya, jika ia berhasil akan lahir watak hamba yang paling unggul iaitu hamba ALLAH yang paling taat kepada Tuhannya dan manusia yang berkasih sayang, saling menghormati sesama manusia.

“ALLAH menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, terletak antara ibadatnya para malaikat yang tiada pengaruh nafsu dan serakahnya haiwan yang menurut hawa nafsu, maka ALLAH kurniakan iman dan akal untuk mengawal hawa nafsu dan hawa nafsu terkawal ini digunakan pula untuk membangunkan kehidupan.

“Inilah sebenarnya yang perlu difahami oleh pejuang hak asasi manusia, jika benar-benar ia berjuang untuk mengembalikan hak yang tulen ini kembali kepada manusia,” katanya. – Sinar Harian