IPOH: Mayat dua mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Banjaran Hot Spring, Tambun, dekat Ipoh, awal pagi Selasa telah ditemui.

Kedua-dua mangsa ditemui di sebuah bilik yang menempatkan jakuzi di salah sebuah villa yang terdapat di resort berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, mangsa pertama seorang lelaki ditemui kira-kira jam 9.55 pagi manakala mangsa kedua seorang perempuan ditemui lima minit kemudian.

“Kami baru saja dimaklumkan bahawa dalam lebih kurang 9.55 am tadi, kedua-dua mangsa telahpun dijumpai dan mereka dijumpai dalam kawasan jakuzi villa tersebut.

Dan kedudukan kedua-dua mangsa ini adalah berdekatan. Mereka dijumpai dalam lima minit antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya kedua-dua mangsa yang berumur dalam lingkungan 30-an merupakan waganegara Malaysia.

Mayat akan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.

Dalam kejadian sekitar 1 pagi Selasa, sebahagian sebuah villa di Banjaran Hot Spring, Tambun dihempap tanah runtuh yang dipercayai ekoran hujan berterusan sejak malam semalam.