IPOH, 2 DIS : Mayat mangsa pertama yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer (KM) 27.10 Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) malam ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata mayat pemandu lori, Muhammad Hafiz Hamdi, 31 ditemui jam 8 malam tadi.

Selain itu, beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan sebuah kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) turut ditemui tertimbus dalam runtuhan berkenaan.

Walau bagaimanapun kata beliau, pihaknya masih belum dapat mengesahkan keadaan dan berapa jumlah mangsa yang berada dalam MPV berkenaan.

“Kita dalam usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa. Kita percaya beliau telah meninggal akibat daripada runtuhan tanah itu.

“Agak sukar sebenarnya (untuk mengeluarkan mangsa) sebab keadaan lori tu ditimbus dengan tanah yang banyak di atas. So saya percaya malam ini kita akan dapat keluarkan mayat yang kita kenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, 31 tahun, warisnya pun ada di sini.

“Di sebelah sana tadi saya difahamkan oleh pihak bomba ada sebuah MPV dalam keadaan terbalik dan setakat ini saya belum boleh mengesahkan berapa penumpang dalam MPV itu,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR akan diteruskan sehingga kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari tempat kejadian.

Dalam kejadian petang tadi, mangsa terperangkap dalam sebuah lori dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Mangsa dipercayai sedang memandu sebuah lori dengan muatan sayur-sayuran dari Cameron Highlands menghala ke Ipoh.