IPOH, 3 DIS – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tanah runtuh di Seksyen 27, Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands ditamatkan pada petang Jumaat.

Operasi ditamatkan selepas didapati tiada lagi mangsa yang dikesan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat menggunakan jentera berat seperti jengkaut dan kepakaran khas seperti dari pasukan STORM, SMART dan Unit K9 telah dijalankan bagi memastikan tiada lagi mangsa yang tertinggal di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) digunakan dalam operasi SAR di kawasan runtuhan bagi mengesahkan sama ada masih terdapat mangsa atau kenderaan lain yang terperangkap.

Pada Khamis, pihak JBPM Perak menerima panggilan pada jam 1.44 petang mengenai kejadian tanah runtuh itu meragut dua nyawa.

Mangsa ialah pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31 dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.

Kedua-dua kenderaan yang terlibat di dalam kejadian itu juga telah dikeluarkan dari lokasi, hari ini.

Operasi SAR melibatkan 143 anggota dari pelbagai agensi dan syarikat konsesi.