PARIT BUNTAR, 15 Sept – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memasang tiga pam air bagi mengatasi masalah pengairan yang dihadapi pesawah di Parit Abas Kuala Kurau.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, tiga unit pam itu dipasang sejak dua hari lalu.

Menurut beliau, pemasangan pam-pam itu untuk menyalurkan air bagi membolehkan pesawah di kawasan itu memulakan kerja-kerja penanaman padi.

Pada Isnin, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gunung Semanggol bersama-sama ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri turun padang meninjau masalah yang di hadapi pesawah.

Astro AWANI melaporkan seramai
40 pesawah di Parit Abas dan Parit Mat Ali, di Kuala Kurau tidak dapat memulakan tanaman padi musim ini ekoran sawah mereka tidak mendapat bekalan air secukupnya.

Masalah itu yang berlarutan sejak berpuluh tahun dikatakan berpunca daripada keadaan palong yang rendah, ketiadaan pam kekal dan sikap segelintir pesawah yang tidak mengikut jadual dengan mengairi tanaman mereka terlebih dahulu.

Pada lawatan itu, Razman berkata, pihak JPS menyediakan pam-pam tambahan bagi membantu penduduk mengairi petak sawah mereka sebagai jalan penyelesaian jangka pendek.

“Masalah yang timbul apabila bendang lebih tinggi dari parit menyebabkan air tidak dapat disalurkan ke bendang.

“Insya Allah kita akan bawa balik berbincang dengan masalah teknikal ini macam mana cara jalan penyelesaian,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya memerlukan penambahbaikan infrastruktur, pihaknya akan mohon bajet tambahan untuk mengatasi masalah itu dalam jangka masa panjang.