PARIT BUNTAR, 14 Sept – Seramai 40 pesawah di Parit Abas dan Parit Mat Ali, di sini tidak dapat memulakan tanaman padi musim ini ekoran sawah mereka tidak mendapat bekalan air secukupnya.

Masalah itu yang berlarutan sejak berpuluh tahun dikatakan berpunca daripada keadaan palong yang rendah, ketiadaan pam kekal dan sikap segelintir pesawah yang tidak mengikut jadual dengan mengairi tanaman mereka terlebih dahulu.

Ketua Unit Parit Abas, Ishak Yunus, 61, berkata, musim ini adalah paling teruk dialaminya kerana belum dapat memulakan kerja-kerja menanam padi apabila sawah masih kering.

“Musim ni lah paling teruk, sejarah yang saya tahu ada tiga kali lah yang teruk sampai padi masak pun, ada yang tak buat, air tak sampai.

“Ada yang tak ada pam air, bukan semua petani ada pam, bukan semua petani senang, yang mampu boleh beli, yang tak mampu tak bolehlah.

“Kalau nak mengharapkan pinjam, payahlah orang nak beri pinjam, jadi saya mengharapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera ambil tindakan,” katanya ketika ditemui.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Kurau, Abdul Baharin Mat Desa berkata, mengikut jadual sawah mereka mendapat bekalan air Selasa minggu lepas.

“Rasanya kali ini agak kritikal sikit, kalau sebelum ini mungkin ada hujan bantu untuk pengairan di sawah yang tak ada air.

“Kalau ada hujan memang dia akan bantu banyaktapi kali ni hujan kurang. Jadi itu mungkin antara punca yang menyebabkan masalah ini dan pesawah-pesawah yang biasa dapat pam pun tidak dapat lagi pam,” ujarnya.

Sementara itu, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan dua pam tambahan bagi membantu penduduk mengairi petak sawah mereka sebagai jalan penyelesaian jangka pendek.

“Masalah yang timbul apabila bendang lebih tinggi dari parit menyebabkan air tidak dapat disalurkan ke bendang.

“Insya Allah kita akan bawa balik berbincang dengan masalah teknikal ini macam mana cara jalan penyelesaian.

“Kalau memerlukan penambahbaikan infrastruktur, kita akan mohon bajet dan kalau kita memerlukan peralatan untuk tambahan seperti pam dan sebagainya, kita akan usahakan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gunung Semanggol bersama-sama ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri turun padang meninjau masalah yang di hadapi pesawah.