IPOH – Orang ramai yang berada di lokasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di Sungai Chepor di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chepor semalam hiba melihat tangisan seorang wanita yang juga ibu mang­sa.

Maizatul Nadia Zulkifli, 30, dan suami, Amar Fizry Razali, 30-an, yang berada di lokasi kejadian dilihat menangis sambil memanggil nama Muhammad Deniss Rama­dhan, 10, yang juga anak kedua daripada tiga beradik.

Wanita itu berulang-ulang kali menyebut ‘ada kat situ, ada kat situ’ sambil menunjukkan lokasi kali terakhir mangsa dilihat terkapai-kapai.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohammad Syawal Roszali, 13, berkata, sebelum kejadian, seorang rakan mereka telah terjun ke su­ngai untuk mengambil selipar yang terjatuh dibawa arus sebelum Deniss turut terjun bagi menyelamatkan rakannya itu.

“Deniss tidak tahu berenang, dia nampak panik dan menjerit meminta tolong. Saya cuba bantu tetapi sungai ini dalam dan arus terlalu deras,” ujarnya

Menurutnya, rakan Deniss yang dibawa arus terselamat ke­rana sempat berpaut pada pokok-pokok di tebing sungai.-K! ONLINE