IPOH, 3 Ogos – Ahli Parlimen UMNO perlu melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dengan menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri serta-merta.

Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, inilah masanya ahli membuktikan sikap taat setia kepada parti.

Dalam hubungan ini, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah kerana menjunjung tinggi keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

“Percayalah, parti ini merupakan parti akar umbi, patah sayap bertongkat paruh jua. UMNO akan terus berjuang membawa suara rakyat tanpa noktah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Mohd Zolkafly melahirkan rasa syukur kerana Allah telah membuka hati ahli-ahli MKT UMNO dalam membuat keputusan yang tegas serta penuh kesepakatan.

“Sesungguhnya, keputusan yang dibuat oleh Ahli MKT UMNO merupakan keputusan yang tanpa nafsi dan bertunjangkan keluhan rakyat dan ahli akar umbi,” ujarnya.

Beliau berkata, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan MKT telah membuktikan bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang amat menjunjung tinggi Prinsip Rukun Negara dan mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu selari dengan Fasal 3 perlembagaan UMNO.