BATU GAJAH: Projek tebatan untuk mengatasi masalah banjir kilat lazimnya melibatkan kos bernilai jutaan ringgit.

Namun, Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) di sini, telah menemui inovasi lebih murah melalui kaedah Tindakan Alih Ubah Banjir Arah Hulu atau TAUBAH.

Melalui kaedah TAUBAH, aras air dari hulu dikawal terlebih dahulu, ditahan dan dilepaskan ke hilir secara terkawal, sekaligus mengelakkan kejadian banjir kilat.

Setiausaha MDBG, Shahiri Tan, berkata, projek perintis TAUBAH dilaksanakan awal tahun ini bagi mengatasi banjir kilat di Jalan Pusing di sini yang melibatkan lebih 5,000 penduduk, di samping kerugian harta benda lebih RM160,000 sejak tahun 2015.

Kaedah itu hanya melibatkan kos RM150,000, jauh lebih murah daripada kos yang dianggarkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Menurut JPS mereka perlukan RM2 juta untuk selesaikan masalah ini kerana  membuat longkang U tetapi kaedah itu akan menyebabkan masalah kepada penduduk di hilir.
TAUBAH 3

“Apa yang kita buat sekarang, bila kita tahan banjir di peringkat hulu, maka orang hilir-hilir semua boleh tidurlah,” katanya selepas majlis perasmian projek itu pada Sabtu yang disempurnakan Ahli Dewan Negara, Datuk Hamzah Mohd Kasim.

Seorang penduduk Taman Tien Shen di sini, S. Kesivan berkata, dia sering mengalami banjir kilat sejak tahun 2009.

“Sejak kebelakangan ini masalah itu sudah kuranglah dan saya harap mereka dapat baiki lagi longkang yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, Hamzah mencadang agar kaedah TAUBAH diperluaskan di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir kilat.

“Saya akan memberi laporan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya keperluan-keperluan kos pembinaan di bawah kaedah TAUBAH dapat dimasukkan ke dalam bajet akan datang,” kata beliau.

S. Kesivan
S. Kesivan