IPOH, 7 Mac – Kerajaan negeri Perak belum berpuas hati sambutan orang ramai terhadap tawaran sewaan tanah milik agensi kerajaan untuk tanaman makanan.

Walaupun tawaran itu telah dibuat sejak hampir lima tahun lalu tetapi sambutannya sangat kurang.

Sehubungan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berharap pandemik Covid-19 akan menyedarkan rakyat mengenai pentingnya isu keselamatan makanan (food security).

“Yang lagi menyedihkan ialah apabila orang Bangladesh menyewa tanah orang kampung, dia tanam, orang kampung makan gaji dengan dia pula.

“Tak patut sangat macam tu, tanah kita, patut kitalah yang tanam. Ini berlaku, ada Bangla yang sudah kaya raya dengan menyewa memajak tanah orang Malaysia dan dia menjadi kaya raya, lebih kaya dari tuan tanah tu,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran program Kebun Kita di Dewan Greentown di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Usaha memberi kesedaran kepada orang ramai akan diteruskan dengan pelbagai program seperti Kebun Kita dan Kebun Dalam Bandar.

Pada tahun lalu Perak menyediakan RM790,000 untuk menyediakan Kit Pakej Bumi Hijau sebagai usaha memperkasa aktiviti pertanian dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan makanan dan mahu Perak menjadi peneraju dalam pengeluaran makanan.