IPOH, 18 FEB – “Saya terharu kerana penghargaan ini begitu tinggi, sedangkan usaha dilakukan hanya menggunakan kudrat yang kecil sahaja,” kata Ismail Mohd Zain, 40, yang menerima Warkah Penghargaan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di atas usahanya membersihkan sampah sarap di Sungai Balun, Slim River.

Guru Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Besout 1 itu sama sekali tidak menyangka, rutin pembersihan yang dilakukan sejak setahun lalu mendapat perhatian daripada baginda dan pihak istana.

Menurutnya, perkara itu dilakukan secara sukarela dalam usahanya membantu memulihara kebersihan dan kelestarian sungai.

“Saya hampir tidak percaya ketika menerima panggilan daripada pihak istana semalam (Selasa) dan lebih mengejutkan apabila dimaklumkan Sultan Nazrin zahirkan penghargaan.

“Tak dapat nak digambarkan rasa terharu dan seronok itu, penghargaan ini pastinya memberi semangat dan dorongan untuk saya melakukan lebih baik lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berharap, penghargaan berkenaan dapat membuka mata semua pihak akan tanggungjawab masyarakat dalam menjaga kepentingan sungai dan alam sekitar.

Paling penting katanya, ia dapat menyedarkan orang ramai supaya tidak melakukan pencemaran dengan membuang sampah ke dalam sungai.

“Penghargaan ini membuktikan usaha kecil kita lakukan tetap boleh memberi impak yang besar lagi-lagi terhadap alam sekitar dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Beliau berkata, sungai itu berada berdekatan rumahnya di Taman Slim Permata dan sudah menjadi kebiasaan baginya turun ke sungai berkenaan setiap kali ternampak timbunan sampah yang tersangkut.

Katanya, secara kebetulan bulan lepas, banjir besar melanda beberapa kampung di kawasan Slim River menyebabkan banyak timbunan sampah yang hanyut dan tersangkut di sungai berkenaan.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melakukan kerja-kerja pembersihan di sungai ini cuma ada saki-baki sampah

“Saya pula memang pantang kalau nampak bekas botol, plastik dan tin terapung di sungai, saya akan turun bersihkan,” katanya. – SINAR HARIAN