Kuala Lumpur, 16 OGOS : Terima kasih Abah.

Demikian antara ucapan warganet yang membanjiri platform media sosial Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, hari ini.

Muhyiddin membuat pengumuman itu selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini, berhubung kedudukannya sebagai ketua kerajaan.

Muhyiddin diangkat sebagai Perdana Menteri (PM) kelapan pada 1 Mac 2020 dan menerajui negara berdepan cabaran pandemik Covid-19 bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Berdasarkan pemerhatian di Facebooknya, warga maya daripada pelbagai latar belakang menyatakan sokongan kepada beliau, malah ada yang sedih dengan peletakan jawatannya itu.

“Semoga Allah membalas seluruh pengorbanan Abah selama ini dengan penuh keberkatan dariNya. Terima kasih Abah, sungguh hari ini adalah hari menyedihkan dan bersejarah untuk rakyat Malaysia,” tulis Nana Zainal Al-Walid.

“Abah demi Allah saya sayang abah. Seumur hidup saya tak pernah menangis sebab politik atau tukar PM. Saya tak pernah ambil tahu hal politik, tapi kali ini saya kalah menangis seperti kehilangan keluarga walaupun Abah tiada pertalian darah daging dengan saya.

“Yana doakan semoga Abah tetap pimpin kami. Semoga Allah sentiasa lindungi abah. Kami sayang abah tolong bantu kami,” tulis Lukashika Diana.

“Terima kasih Abah. Bantuan GKP dan moratorium amat bermakna bagi saya di saat Covid-19 melanda dan tak dapat menjalankan perniagaan. Saya sangat menghargai bantuan yang Abah berikan. Mohon maaf dan terima kasih,” tulis Jannah Azaman.

Selain itu, pemilik akaun dengan nama Carollyna Danny TG pula mengucapkan terima kasih kerana berusaha sedaya upaya sepanjang Covid-19 dan berjuang bersama rakyat selama hampir dua tahun.

Selain itu, Gana Sebastian, Lim Boon Leong dan Nurul Nabila Atira Najri turut mengucapkan terima kasih dan menyifatkan Muhyiddin sebagai pemimpin prihatin kepada rakyat dan berusaha mengurangkan kes penularan wabak di negara. – HARIAN METRO