IPOH, 25 Nov – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu peribahasa yang dapat digambarkan terhadap situasi yang dihadapi seorang pesara tentera, Mohd Fuad Baharom, 56.

Beberapa minggu lalu, bengkel menjadi sumber mata pencariannya selama 15 tahun ranap apabila dihempap sebatang pokok akibat hujan lebat beserta ribut.

Mohd Fuad berkata walau bagaimanapun ketika kejadian, dia yang berada di bengkel berkenaan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Selepas pokok tumbang, saya terpaksa merangkak daripada celahan dahan pokok dan bengkel yang runtuh itu untuk keluar. Namun saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kejadian itu telah menyebabkan bengkel saya ranap sepenuhnya, termasuk tiga kereta pelanggan turut terkesan. Itu yang membuatkan saya bingung namun, pelanggan memahami keadaan saya,” katanya.

Mohd Fuad memberitahu insiden pokok tumbang itu telah mengakibatkan kerugian yang dianggarkan bernilai RM10,000 ke RM30,000.

Bapa kepada enam cahaya mata yang berumur antara 12 sehingga 25 tahun itu berkata, pendapatan sebulan yang diraih ketika ini tidak menentu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19.

“Pendapatan dalam sebulan saya ketika ini tidak menentu. Secara kasarnya sekitar RM2,000 sebulan. Namun sejak PKP, jumlah pelanggan berkurangan selain kebanyakkan mereka hanya mahu membaiki kerosakan-kerosakan kecil pada kenderaan mereka,” jelasnya lagi.

Mohd Fuad terdahulu ditemui pada Program Jiwa Murni anjuran Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bersama The Bojen Car Wash di bengkelnya dekat Kampung Melayu Rizab, Jalan Ampang dekat Tambun, di sini pada Khamis.

Program yang membabitkan kira-kira 70 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu diadakan bagi membantu membersihkan dan membaiki semula bengkel kenderaan Mohd Fuad.

Pada masa sama, Mohd Fuad turut menerima sumbangan barangan makanan dan tunai yang disampaikan Ketua Whip, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) , Datuk Mazlan Abd Rahman.

Mohd Fuad yang menamatkan perkhidmatan pada tahun 2000 selepas bersama ATM selama 16 tahun itu bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban yang dihadapinya.

Sementara itu Mazlan berkata sebelum ini kerja-kerja pemotongan pokok yang tumbang di situ telah dijalankan 30 pekerja MBI, sehari selepas kejadian berkenaan.

“Diharap semoga pertolongan yang dihulurkan ini dapat membangkitkan semula semangat Mohd Fuad untuk terus menjalankan perniagaannya selepas ini,” kata beliau.