IPOH, 29 April – Program Ihya Ramadan Ehsan tidak pernah gagal dianjurkan sejak 20 tahun lalu, bukan sahaja menumpukan di satu kawasan namun bergerak ke seluruh Malaysia saban tahun.

Selepas Selangor, kini program ini bergerak ke negeri perak dengan mensasarkan seramai 150 orang penerima sumbangan, yang terdiri daripada golongan miskin dan asnaf.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ehsan, Datuk Abdul Hamid PV Abdu, program secara tahunan yang dilaksanakan itu menyaksikan peningkatan penerima sumbangan berbanding tahun sebelumnya di seluruh negara.

“Kita sudah laksanakan program ini sejak 20 tahun lalu, jika dilihat tahun ini lebih ramai yang terjejas akibat COVID-19.

“Tahun lepas kita bagi sumbangan di antara 1,200 hingga 2,000 penerima sahaja tetapi tahun ini kita beri kepada kira-kira 3,500 penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ihya Ramadan Ehsan 2021 dengan kerjasama Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Perak di Ipoh pada Khamis.

Yang turut hadir Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dalam mengatur dan menjayakan program tersebut.

“Kami berbesar hati untuk mengatur program ini dari utara sampai selatan, setiap negeri kami akan turun untuk membantu.

“KIMMA memang memperoleh data-data asnaf yang ada di kawasan tertentu, ini memudahkan kami untuk mengenal pasti penerima yang memang memerlukan bantuan,” katanya.

Ujarnya lagi, selepas ini mereka akan bergerak ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi meneruskan tradisi penyampaian sumbangan dan bantuan tersebut.