IPOH: Pihak pengurusan resort di lokasi berlaku tanah runtuh di Tambun di sini hari ini mengesahkan kejadian itu menjejaskan satu daripada villanya.

The Banjaran Hotspring Retreat dalam kenyataan akhbarnya berkata, pihaknya berasa kesal dengan kejadian yang berlaku hingga mengakibatkan dua tetamu maut.

Katanya, selain dua mangsa terbabit, tiada tetamu atau kakitangan lain yang terlibat dan kesemua mereka telah pun dipindahkan ke kawasan selamat.

“Kami ingin memaklumkan bahawa resort ini memenuhi semua syarat keselamatan dan protokol oleh pihak berkuasa dan beroperasi mengikut standard antarabangsa.

“Kesihatan dan keselamatan tetamu serta semua kakitangan sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menghubungi keluarga kedua-dua tetamu tersebut selain memberi mereka sokongan dan bantuan.

“Setakat ini, kita tidak dapat memberikan ulasan lebih lanjut kerana siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis,” ujarnya. – UTUSAN