IPOH: Kesungguhan atlet negeri Perak selaku tuan rumah harus diberikan pujian walaupun gagal mencapai sasaran 50 pingat emas pada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XIX, kata Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, SUKMA bukan sekadar satu acara sukan, sebaliknya setiap atlet negeri ini telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sewaktu bertanding dan patut diberi keutamaan.

Beliau bagaimanapun mengakui berasa dukacita apabila sasaran pingat emas itu tidak dapat dipenuhi selaku tuan rumah.

Sehingga hari ke-12 pengajuran SUKMA, Perak berjaya merangkul sejumlah 138 pingat iaitu 37 emas 50 perak dan 51 gangsa.

“Saya berbangga semua atlet telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi waktu mereka bertanding dan itu yang jauh lebih penting.

“Bagi negeri Perak sehingga hari penutup kita telah berjaya menjadi tuan rumah yang baik kerana rata-rata kontinjen memuji layanan diterima mereka di negeri ini sepanjang penganjuran SUKMA.

“Saya berbangga dengan para atlet kerana bertanding dengan semangat kesukanan dan ini peluang melibatkan semua pihak dalam acara sukan,” katanya ketika ditemui media selepas sesi wawancara bertajuk Masa Depan Malaysia Baharu yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman malam tadi.

YAB Ahmad Faizal menambah, perasaan bangga terhadap pencapaian atlet menjadi keutamaan dan sekiranya pulang dengan pingat atau tanpa sebarang pingat, ia menjadi perkara kedua.

Menurut beliau, pendekatan bagi menganjurkan SUKMA di setiap daerah juga telah mengalakkan rakyat untuk keluar menyaksikan acara sukan tersebut.

“Sambutan itu adalah satu perkara baik kerana penganjur telah membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi menambahbaik segala kemudahan sukan dan harapkan ia dapat menyemarakkan semangat kesukanan dikalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, satu sesi perbincangan bersama YB Syed Saddiq akan diadakan dalam usaha menamakan Ipoh sebagai Bandaraya Sukan.

“Kita mahu semangat SUKMA terus disemarakkan selepas habis penganjurannya dan menggalakkan rakyat terlibat dengan acara sukan,” katanya.