Kementerian Kesihatan (KKM) tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata larangan yang akan berkuatkuasa mulai 25 Okt hingga 27 Nov itu juga termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.

“Susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan PRN Melaka pada 20 Nov, KKM menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya yang akan diadakan melibatkan ramai individu berkumpul (mass gathering) dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairy berkata larangan itu juga selaras dengan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

“Larangan ini juga selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam Pelan Pemulihan Negara SOP Fasa 4 yang terkini iaitu ‘apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan’.

“Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),”katanya,

Katanya, perhimpunan atau majlis sosial tanpa mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal yang sukar diamalkan akan meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19.