SEMANGGOL: Tiada keperluan untuk menutup sekolah di seluruh negeri Perak buat masa ini, susulan pandemik Covid-19, kata EXCO Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria.

Ujarnya, penularan wabak COVID-19 di negeri ini tidak menyeluruh dan hanya berlaku di beberapa kawasan di negeri Perak.

Beliau berkata setakat hari ini tiada arahan daripada pihak Kementerian Pendidikan untuk menutup semua sekolah di negeri ini sebaliknya hanya sekolah yang terlibat dan mempunyai kes positif wabak berkenaan sahaja disyorkan untuk berbuat demikian.

“Setakat hari ini tidak ada arahan daripada Kementerian Pendidikan utk menutup sekolah-sekolah ini sebab difikirkan tidak ada keperluan.

“Kementerian Pendidikan sendiri telah memberi kuasa kepada sekolah sekiranya ada pandemik itu maka sekolah itu boleh mencadangkan untuk ditutup.

“Desakan itu mungkin juga pihak Kementerian Pendidikan telah memikirkan para pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM dan penilaian akhir tahun,”katanya.

Razman berkata demikian kepada pemberita dalam Program Jejak Kasih Menteri Besar dan Exco Pendidikan Negeri Perak ke Parlimen Bagan Serai pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini yang mencadangkan sekolah di negeri Perak berkenaan ditutup berikutan peningkatan kes di kalangan pelajar sejak kebelakangan ini.

Razman turut memberitahu, mengikut statistik kehadiran pelajar, 95 peratus pelajar direkodkan hadir dan berdasarkan Jabatan Pendidikan jumlah itu berada di tahap yang normal.

“Ada dua atau tiga kelas yang terkesan akibat COVID-19, dan ada ibu bapa yang mengambil tindakan awal, selain kelas itu sahaja yang kurang pelajar.

“Rasanya tidak timbul isu tidak berminat ke sekolah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pelajar juga sebenarnya ingin ke sekolah berbanding belajar secara atas talian,”katanya.

Terdahulu pada program itu, Razman menyampaikan kotak sumbangan makanan di empat lokasi termasuk Gunung Semanggol dan Selinsing kepada lebih 100 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan kurang berkemampuan.