PASIR SALAK, 21 JAN : Walaupun tidak mempunyai komputer riba, dua murid Orang Asli di Kampung Redang Punggor, Chenderong Balai di sini tetap mengikuti pembelajaran melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Mereka ialah murid tahun empat, Nurallisyazana Abdullah dan murid tahun lima, Nazirul Badrul yang tetap teruja mengikuti hari pertama kaedah PdPR.

Disebabkan capaian internet yang tidak stabil, mereka lebih selesa mengikuti PdPDR di luar rumah iaitu di sebuah pondok di depan rumah mereka.

Menurut Nurallisyazana, dia lebih suka mengikuti PdPR di rumah kerana boleh menumpukan sepenuh perhatian tanpa gangguan sesiapa.

“Cuma kadang kala capaian internet di sini tidak begitu stabil menyebabkan pembelajaran sedikit terganggu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rakannya, Nazirul pula berkata, dia tidak memiliki komputer riba namun tetap mengikuti PdPR menggunakan telefon bimbit kerana tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.

“Tanpa komputer riba agak susah juga untuk saya mengikuti PdPR secara dalam talian. Kalau ada pusat internet di kampung ini, mungkin lebih senang untuk kami murid di kampung ini mengikuti PdPR,” katanya.

Sementara itu, seramai 40,801 pelajar memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah-sekolah di negeri ini semalam.

Pengarah Pendidikan negeri, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali berkata, seramai 361,245 pelajar lagi mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR.

“Sebanyak 1,102 sekolah beroperasi di negeri ini melibatkan 852 buah sekolah rendah dan 250 buah sekolah menengah,” katanya. -UTUSAN