PETALING JAYA, 30 Julai: Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan atau berhimpun di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, negara ketika ini masih lagi di dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Justeru itu, katanya, semua pihak diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika pelaksanaan PPN ini.

“Ketika PPN ini tidak ada mana-mana individu boleh berhimpun.

“Semua pihak harus mematuhinya, tindakan akan diambil jika didapati melanggar SOP ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dari mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan.

Terdahulu, tular satu poster mengajak orang ramai turun ke jalanan bagi menunjukkan soladiriti rakyat terhadap kerajaan.

Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ itu dijangka diadakan di Dataran Merdeka, esok.- UTUSAN ONLINE