IPOH, 1 MAC – Proses penerimaan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Perak berjalan seperti yang dijadualkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata pemberian vaksin melibatkan EXCO Kerajaan Negeri tidak bermakna wujud istilah atau dakwaan potong giliran dalam penerimaan vaksin COVID-19.

“Di Perak kita buat jadual. Kepada saya pun tidak ada masalah kerana di Perak ini Menteri Besar seorang dan EXCO Kerajaan Negeri 10 orang. Kita buat (suntikan) hari ini melibatkan 221. Maknanya individu lain daripada EXCO adalah 210 orang.

“Ia adalah adil. Justeru jangan bimbang. Namun saya berterima kasih atas kenyataan Yang Berhormat, Khairy Jamaluddin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima suntikan COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.

Tambah Saarani di Perak, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dan mengambil pandangan semua pihak sebelum memuktamadkan penjadualan pemberian vaksin COVID-19 fasa pertama di negeri ini.

Semalam, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan meminta agar individu kenamaan yang bukan bergelar wakil rakyat, tidak boleh menjadi penerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dilaporkan berkata wakil rakyat turut disarankan agar mengambil vaksin COVID-19 secara berperingkat.

Mengulas lanjut Saarani berkata kenyataan dilontarkan Khairy itu bukanlah bersifat sebagai arahan sebaliknya Khairy cuba memberi pemahaman agar kerajaan berlaku adil dan tidak dilihat mengutamakan individu kenamaan dalam urusan pemberian vaksin tersebut .

“Pandangan beliau (Khairy) itu supaya adanya selang-seli (dalam urusan pemberian vaksin). Selepas menteri, diberi pula kepada orang lain dan kemudian kembali kepada Menteri. Pandangan itu supaya dilihat bahawa berlaku keadilan dari segi giliran mengambil vaksin,” jelas beliau.