KAMPAR, 6 DIS : Seorang ibu bersama dua anaknya maut dalam kebakaran bilik sewa mereka di tingkat satu sebuah rumah kedai tiga tingkat di Taman Bandar Baru, di sini, hari ini.

Mangsa, seorang jururawat, R. Kartiga 35, anak perempuannya, S. Harrshikka 6 dan anak lelakinya, S. Shaarhveesh 12 maut ditempat kejadian dipercayai kerana melecur.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian disedari orang awam yang terlihat asap dari bilik sewa tersebut dan terus menghubungi pihak polis dan bomba.

Menurutnya, sekitar jam 10.13 pagi, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar tiba di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Bilik tersebut dalam keadaan berkunci dan pihak bomba terpaksa memecah pintu untuk memadamkan kebakaran dan setelah pintu dipecahkan dapati api marah pada bahagian katil yang berada di tengah bilik tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasron Nazri berkata, selepas berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 10.16 pagi, pihak bomba mendapati tiga mangsa berada di atas katil, dipercayai telah mati akibat kebakaran.

Menurutnya. pemeriksaan di dalam bilik tersebut telah menjumpai satu dompet yang mengandungi kad pengenalan, MyKid dan kad pengakap dipercayai milik mangsa.

Katanya, siasatan juga mendapati bilik tersebut disewa oleh seorang perempuan yang berkerja sebagai Jururawat bersama dua anaknya semenjak enam tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya.

Beliau memberitahu, siasatan yang turut disertai Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mendapati pintu depan dalam keadaan berkunci dari dalam dan terpaksa dipecahkan.

“Ketiga-tiga mayat mangsa ditemui di atas katil yang berkedudukan lebih kurang 1.5 meter dari pintu utama dan turut ditemui adalah satu tong minyak petrol di belakang almari pakaian dan kesan renjisan mintak petrol di dinding bilik,” ujarnya.

Menurut Hasron Nazri, berdasarkan maklumat dari rakan baik simati di Hospital Kampar, jururawat itu sering menceritakan masalah keluarga dan perkahwinan selain telah dua minggu berada dalam kemurungan.

Mayat dihantar ke Hospital Kampar bagi memjalankan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian simati.

Walaupun siasatan awal mendapati motif kejadian adalah bunuh diri disebabkan masalah peribadi dan keluarga yang dihadapi mangsa, polis masih menjalankan siasatan lanjut.