LARUT: 10 penduduk termasuk tiga kanak-kanak dari tiga buah kampung di Ijok,dekat sini dipindahkan ke kawasan selamat selepas rumah mereka dinaiki air sedalam tujuh kaki dalam kejadian banjir kilat petang tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, hujan yang berterusan sejak ‪jam 3‬ ‪petang pada Rabu‬ menjadi antara faktor banjir kilat di kawasan terbabit.

Katanya lagi, antara kampung yang terjejas akibat kejadian itu ialah Kampung Pantai Besar, Kampung Sungai Ara dan Kampung Jemerang Star.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka susulan banjir kilat.

“Pihak kami terima panggilan berhubung kejadian itu pada ‪jam 5.08‬ petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau bergegas ke lokasi kejadian.

“Mereka terdiri daripada enam lelaki dan empat perempuan. Anggota bomba berjaya memindahkan kesemua mangsa dari empat buah rumah ke kawasan tinggi dan selamat sementara menunggu air surut.

“Ada sesetengah tempat air naik sehingga tujuh kaki manakala yang lain tiga hingga empat kaki,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, operasi menyelamat masih berjalan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan tersebut terjamin sehingga banjir surut.