IPOH, 5 Mei – Tiga juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan menipu berhubung urusan bayaran membaiki kerosakan kabel berjumlah RM6,000, tahun lalu.

Tertuduh, Azhari Abdul Ghani, 46, Faizizee Azami, 31, dan Mohd Noor Hakim Noor Rashid, 38, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka secara bersama didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 43 di perkarangan parkir, Jalan Sentral Sungkai 7, Sungkai pada  4 petang, 14 hingga 15 Ogos tahun lepas.

Mereka didakwa bersama-sama memperdayakan individu tersebut untuk mempercayai bahawa bayaran RM6,000 merupakan bayaran bagi pihak kontraktor yang dilantik TNB untuk membaiki kerosakan kabel di antara SS Felda Besout 4 dan SS Besout By Pass K. Slim, sedangkan pihak kontraktor membuat tuntutan kepada TNB.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca dengan Seksyen 34 kanun yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun, tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 12 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim mewakili Azhari serta Faizizee dan Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Mohd Saad mewakili Mohd Noor Hakim.