KAMPAR, 17 Feb – Polis memberkas tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan kecurian arus elektrik bagi menjalankan aktiviti mesin Bitcoin di Bandar Agacia, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mereka diberkas dalam serbuan ke atas empat premis, kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, serbuan dibuat
sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Perak bersama JSJ IPD Kampar dibantu Juruteknik Khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) (Kawasan Utara) dan Polis Bantuan TNB, berdasarkan maklumat yang diterima.

“Pasukan serbuan telah menemui dan membuat rampasan sebanyak 250 unit mesin Bitcoin serta beberapa peralatan lain yang digunakan dalam aktiviti berkaitan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati tiga suspek lelaki dalam lingkungan umur 19 hingga 32 tahun telah terlibat dalam kegiatan mencuri arus elektrik dan penyambungan kabel secara haram di kesemua premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasron Nazri berkata, kesemua suspek kemudiannya ditahan kira-kira jam 8 malam tadi.

Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek yang terlibat bergerak aktif dengan kegiatan itu di kawasan Kampar, Ipoh dan Batu Gajah sejak September tahun lalu.

Kesemua mereka direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.