PASIR SALAK, 28 Julai – Tiga lelaki terselamat apabila kereta yang mereka naiki terbakar dalam kejadian di Jalan Changkat Lada – Pasir Salak, dekat sini, hari ini.

Kesemua mereka sempat keluar daripada kereta jenis Perodua Kancil itu dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.50 pagi.

“Anggota membuat pemadaman menggunakan dua aliran hos bagi mengawal dan memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut jurucakap itu, kebakaran menyebabkan kemusnahan 80 peratus kereta dan punca kebakaran masih disiasat.