Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAPAH: Perak mencatatkan peningkatan ketara laporan wabak denggi di sekitar negeri dengan 1930 kes baru bagi Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri mengambil maklum perkara berkenaan dan sedia untuk melaksanakan program pembersihan kawasan hotspot secara proaktif.

Katanya, pihaknya berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dengan tidak mengambil mudah mengenai tahap kebersihan baik di kawasan kediaman dan lokasi terbiar di sekeliling mereka.

“Saya akan pastikan kesemua kawasan yang diisytiharkan kawasan denggi, segera diberi perhatian, dengan melaksanakan pemantauan berterusan kerana sebelum ini pernah berlaku di beberapa kawasan dan kerajaan negeri segera melakukan yang terbaik untuk mengeluarkannya dari kawasan hotspot.

“Kita juga akan memastikan kawasan ini di bawah pengawasan segera, dan saya minta semua pihak bekerjasama bukan hanya meletakkannya kepada pihak berkuasa semata-mata, kerana sekiranya didapati terdapat terlalu banyak sampah di kawasan itu itu bermakna masyarakat telah memandang sampah itu buat sekian lama.

“Ada di antara kawasan ini, ada yang mengatakan tindakan penguatkuasaan tidak dilaksanakan sedangkan mereka cuci, mereka buang kemudian ada lagi pihak yang datang dan sekali lagi buang sampah di kawasan itu,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjalankan program bersama masyarakat India di Dewan Kg Samy, di sini hari ini.

Laporan daripada Unit Vektor Jabatan Kesihatan Negeri Perak menyatakan bahawa terdapat perbezaan sebanyak 4793 kes sehingga September ini berbanding hanya 2863 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata peningkatan ketara berlaku di sekitar daerah Kinta iaitu perbezaan sebanyak 2880 kes pada tahun ini berbanding 1518 pada tahun lepas.

Katanya, jumlah tersebut melibatkan sembilan kawasan lokaliti baru khususnya bertumpu di sekitar kawasan Tasek melibatkan kawasan perindustrian IGB dan Taman Tasek Jaya.