Jeli, 28 Jun: Polis membuka kertas siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed susulan gambar yang tular sedang makan di sebuah kafe di Jeli, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata. ahli Parlimen Jeli dan beberapa individu lain disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Katanya, pihaknya menerima satu laporan polis semalam susulan gambar berkenaan tular di media sosial.

“Bertindak atas laporan polis, kita membuka siasatan terhadap empat individu berkenaan termasuk Datuk Seri Mustapa dan pemilik kedai makan berkenaan kerana melanggar SOP (prosedur operasi standard) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita akan memanggil kesemua individu dalam gambar dalam masa terdekat untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP termasuk pemimpin kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular gambar Mustapa dan pegawainya serta pemilik kedai berkenaan sedang menjamu selera di sebuah kafe di Jeli.

Gambar berkenaan pada asalnya dimuat naik oleh pemilik kedai makan berkenaan di Facebook yang meluahkan rasa gembira atas kunjungan Ahli Parlimen berkenaan di premis miliknya.

Susulan tindakan berkenaan, gambar itu tular dan ramai yang mempertikai tindakan ahli Parlimen itu melanggar SOP apabila sedang makan di dalam kedai, sedangkan ia dilarang dalam tempoh PKP.

Mustapa malam tadi memohon maaf atas pelanggaran SOP ketika mengunjungi sebuah kafe di Kalai, Jeli.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Mustapa turut menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Mustapa mengaku berada dan dihidangkan makanan di Alfath Café, Kampung Kalai, kelmarin. -Harian Metro