PETALING JAYA, 19 OKT : Jumlah purata harian trafik merekodkan peningkatan sebanyak 3.8 juta atau sembilan peratus di semua lebuh raya bertol di seluruh negara. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan & Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Syed Mohd. Faizal Said Ahmad berkata, jumlah tersebut adalah berdasarkan rekod terkumpul sejak 11 Oktober lalu sehingga setakat semalam, selepas kerajaan menarik semula sekatan rentas negeri. 

Katanya, peningkatan trafik berkenaan adalah lebih tinggi berbanding trafik sebelum ini iaitu 3.5 juta kenderaan sehari namun jumlah trafik harian tertinggi yang pernah dicatatkan adalah sebanyak 4.2 juta kenderaan pada Jumaat minggu lalu.

“Oleh demikian, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan sebaik mungkin dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan ke destinasi dituju. 

“Pengguna lebuh raya juga perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan baki di dalam kad nilai tambah Touch ‘n Go juga mencukupi. 

“Orang ramai juga diingatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan apabila berada di kemudahan-kemudahan yang disediakan di sepanjang lebuh raya bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya hari ini. 

Dalam pada itu, katanya, jumlah trafik turut meningkat di sepanjang lebuh raya utama di bahagian Utara, Selatan dan Timur serta di semua plaza tol utama dan lebuh raya bertol di sekitar Lembah Klang namun keadaan masih terkawal dan berjalan lancar.

Katanya lagi, LLM menjangkakan jumlah trafik di tIga lebuh raya utama di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur terus meningkat bermula petang ini sehingga tengah malam berikutan orang ramai dijangka bergerak pulang kes destinasi masing-masing. 

“Terdapat juga peningkatan jumlah trafik dilaporkan di Plaza Tol Gombak menghala ke Pusat Bandar. 

“Trafik juga didapati bergerak perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (E2) (Bandar Ainsdale ke Nilai) disebabkan kejadian kemalangan di KM 274 yang menyebabkan lorong kanan dan lorong kecemasan terhalang di sekitar pukul 3.45 petang tadi dan kesesakan masih berlaku sepanjang 7 kilometer ke lokasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE