KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan Istana Negara selepas kira-kira 90 minit, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, sebentar tadi.

Kereta Proton Perdana yang membawa Perdana Menteri meninggalkan Istana Negara menerusi pintu utama pada jam 6.19 petang, selepas memasukinya pada jam 4.40 petang tadi.

Beliau sempat melambaikan tangan sambil melemparkan senyuman kepada petugas media yang menunggunya di luar pintu utama.

Dr Mahathir menghadap Yang di-Pertuan Agong dipercayai bagi memberi penjelasan mengenai peletakan jawatannya, selain perkembangan terkini Pakatan Harapan (PH) selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak lagi bersama PH.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menghadap Yang di-Pertuan Agong petang tadi.

Kedua-dua mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong selama kira-kira 40 minit sebelum dilihat keluar jam 3.15 petang.

Difahamkan, semua ahli Parlimen UMNO dan PAS juga sedang menanti kebenaran untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.