MELAKA, 19 OKT : UMNO memberi bayangan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bersendirian dalam mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Meskipun tidak menyatakan secara jelas, Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pelbagai pihak telah tampil menyatakan hasrat berkerjasama dan parti itu sentiasa berfikiran terbuka. 

Jelasnya, bagaimanapun, BN belum memuktamadkan secara rasmi siapakah rakan kerjasama bagi menghadapi PRN kali ini.

Tegas beliau, keputusan hanya dibuat dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO, kemudian disusuli Dewan Tertinggi BN yang akan diadakan pada minggu depan atau sebelum penamaan calon.

“Pelbagai pihak tampil menyatakan hasrat dan UMNO sentiasa berfikiran terbuka. Kami (UMNO) berlapang dada dan sedia menerima pandangan daripada sesiapa sahaja.

“Namun, segala keputusan hanya akan diputuskan secara kolektif apabila tiba masanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan jentera PRN UMNO peringkat negeri di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

UMNO menjalinkan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 2019 dan kerjasama itu telah diterjemahkan menerusi beberapa siri pilihan raya kecil (PRK).

Untuk melihat MN kembali pada PRN Melaka sedikit sukar selepas Pas menyertai Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO sedang menilai senarai calon berdasarkan keboleh menangan di kawasan dewan undangan negeri (DUN) yang ditandingi.

Menurutnya, penilaian tersebut berdasarkan sains dan data melalui perangkaan yang diperoleh daripada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14, serta unjuran yang dibuat khusus untuk PRN Melaka.

“Kita berpegang kepada Perlembagaan UMNO yang menyebut calon-calon bagi mana-mana pilihan raya hendak dibincangkan di peringkat bahagian. Kemudian nama calon akan dikemukakan kepada kepimpinan atasan untuk menandatangani watikah.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad calon hanya akan diputuskan sebelum hari penamaan calon,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai kawasan panas seperti DUN Sungai Udang dan Pantai Kundor, Ahmad Zahid menegaskan, UMNO menganggap semua kerusi adalah panas dan akan bekerja keras di kawasan fokus. – UTUSAN ONLINE