IPOH, 5 Ogos – UMNO Bahagian Lenggong merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada kelmarin.

Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Saarani Mohamad turut merakamkan ucapan syabas kepada Ahli Parlimen Lenggong itu kerana menjunjung tinggi keputusan yang dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Katanya tumpuan UMNO Bahagian Lenggong tidak terjejas sebaliknya akan terus berkhidmat melaksanakan agenda kebajikan dalam usaha menangani kesan sosial dan ekonomi rakyat ketika pandemik COVID-19.

“Bertepatan degan fasal 3.3 perlembagaan UMNO iaitu Mendukung asas-asas Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, Maka UMNO Bahagian Lenggong berdiri teguh dan menyokong keputusan Ahli MKT UMNO yang telah dengan tegas dan penuh kesepakatan menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri.

“Mengobservasi keputusan yang dibuat oleh Ahli MKT UMNO merupakan keputusan yang tanpa nafsi dan bertunjangkan keluhan rakyat dan ahli akar umbi UMNO, maka adalah wajar bagi setiap ahli parti menuruti keputusan yang telah diputuskan sebagai lambang taat dan setia kepada parti dan Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa Shamsul Anuar yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO dilaporkan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli

Katanya keputusan itu diambil kerana akur dengan keputusan parti sebelum ini.