PASIR SALAK, 8 Mei – UMNO kesal dengan dakwaan setengah pihak yang menuduh parti itu hanya memfokuskan kepada isu politik tanpa mengambil kira perihal masalah rakyat ketika negara dilanda wabak COVID-19.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata partinya masih waras untuk tidak terlalu mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera ketika negara terus mencatatkan peningkatan kes jangkitan wabak tersebut.

Justeru beliau berkata sekiranya kes jangkitan COVID-19 dalam negara masih tinggi, UMNO bersedia untuk mempertimbangkan semula keputusan berhubung menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Ogos ini.

“(Pada) Perhimpunan agung telah menetapkan bulan Ogos sebagai tamatnya, UMNO menyokong perikatan nasional dan berharap parlimen akan dibubarkan. (Itu hanya) membuat andaian walaupun tak disebut.

“Pada tarikh itu nanti (sekiranya) keadaan mengizinkan seperti COVID-19 reda, darurat sudah ditarik balik, barulah kita nak Pilihan Raya. Tetapi sekiranya (kes masih) meningkat ke berapa ribu kes, jadi pada waktu itu kita akan pertimbangan semula (keputusan itu).

“Jadi, buat sementara ini kita akur (dengan) keadaan COVID-19 yang begini, keprihatinan kita kepada rakyat, kita bantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan Asnaf di Pasir Salak, di Dewan Besar Pekan Rabu dekat sini pada Sabtu.

Sebelum ini UMNO dilapor memutuskan kekal menyokong kerajaan PN sehingga Ogos sebagaimana keputusan yang dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO pada Mac lalu.

Sementara itu Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak menegaskan bahawa UMNO merupakan parti yang sentiasa meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat di hadapan, sebagaimana parti itu pernah menerajui kepimpinan negara sebelum ini dalam Barisan Nasional (BN).

“Saya marah apabila orang tuduh UMNO kata asyik berpolitik sahaja. Kalau kita asyik berpolitik, negara kita tidak akan (membangun) seperti sekarang.

“Ada kala kita berpolitik, namun kita kerja untuk rakyat. Segala pembangunan negara dan nasib rakyat kita tidak abaikan. Jadi tolonglah betulkan persepsi itu. Cakap-cakap ini kadang kala menyakitkan hati kita juga. Kita pun ada perasaan,” kata beliau.