KUALA LUMPUR, 15 SEPT : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kelonggaran bagi aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal bagi sektor sosial di negeri Fasa 2 dan Fasa 3.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan pada Rabu mengumumkan beberapa aktiviti melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka (outdoor) dan tertutup (indoor) dibenarkan kepada individu telah lengkap vaksin (secara tempahan, sanitasi, penjadualan penggunaan dan pemantauan rapi.

Senarai di bawah adalah antara kelonggaran lain:

* Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal (seperti bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain) dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan tersebut terhad bagi individu yang telah lengkap vaksin sahaja dan dilakukan di premis yang mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya.

* Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara berkumpulan di kawasan/premis yang sama dengan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 50 orang (mana-mana yang lebih rendah) bagi individu yang lengkap divaksin, dengan seliaan jurulatih/instruktur dibenarkan.

Selain itu, kelonggaran baharu bagi sektor rekreasi di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 termasuk kebenaran aktiviti kolam memancing dalam tempoh PPN dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap berdasarkan ketetapan berikut:

* Fasa 1 : 6 pagi – 8 malam di daerah yang sama

* Fasa 2 : 6 pagi – 10 malam di negeri yang sama.

-AWANI