TANJUNG MALIM, 14 Jan – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuka tirai tahun 2022 dengan menganjurkan majlis bacaan Yaasin dan doa selamat semasa perhimpunan bulanan bersama kakitangan dan warga UPSI di Masjid Al-Mursyiddn, Kampus Sultan Azlan Shah.  

Program bacaan Yaasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Muhammad Majdan Ismail antara lain bertujuan merapatkan silaturrahim di kalangan kakitangan dan kepimpinan universiti di samping mengharapkan segala perancangan pada 2022 dapat dilaksanakan dengan baik.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, mahu mengamalkan pendekatan konsep beragama dan kekeluargaan dijadikan sebagai teras pembangunan potensi insan di UPSI.

“Tahun 2021 telah menyaksikan kecemerlangan buat institusi pendidikan yang bersejarah ini apabila banyak kejayaan manis terlakar sungguhpun terdapat rintangan apabila negara masih lagi berhadapan dengan penularan COVID-19 yang menuju ke fasa endemik.

“Tahun ini, UPSI akan memastikan kebajikan warganya, menggalakkan kecemerlangan dan memperkukuhkan ukhwah sesama kakitangan dan mahasiswa.

“Apalah ertinya bekerja tanpa ada rasa keseronokan dan tiada nilai kekeluargaan dalam jabatan,” katanya ketika berucap di majlis itu.

Md Amin menggesa setiap jabatan mengisi program kerohanian pada setiap Rabu dan dikecualikan daripada kuliah pada setiap minggu.

Selain memperkasakan hubungan antara warganya, beliau menambah, keluarga UPSI amat bertuah apabila berpeluang menjadi saksi kepada peristiwa bersejarah institusi pendidikan keramat itu yang akan berlangsung pada 29 November 2022 ini.

“Kemunculan tahun baru 2022 pula menjadi titik tolak kepada peristiwa bersejarah sambutan 100 tahun UPSI  sebagai sebuah legasi perjuangan bangsa dalam bidang pendidikan untuk nusa dan tanahair malah untuk segenap nusantara dan pembangunan kepada kesejahteraan negara,” ujarnya.

Sepanjang Januari, katanya, pihsk umiversiti merancang untuk melaksanakan 15 program, antaranya ‘outreach dan ramah mesra di Bagan Datuk, Program Bersepadu Orang Asli EmpowerNCER Akademik, Sumposium Universiti untuk Komuniti (UTC), Pelancaran Aplikasi Digital Wellness Centre, Sambutan Hari Keluarga UPSI dan Penamaan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar.