TANJUNG MALIM, 6 Sept – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyerahkan surat tawaran biasiswa dan jawatan pensyarah kepada atlet basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang hari ini.

Dalam satu kenyataan UPSI memaklumkan Azizulhasni menerima tawaran melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah serta Pensyarah Universiti Gred DS45/51/53 dalam satu sesi ringkas yang diadakan di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, dekat sini.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Md Amin Md Taff berkata tawaran berkenaan adalah penghargaan UPSI atas pencapaian cemerlang atlet Olimpik yang melakar kejayaan dalam bidang sukan basikal trek di peringkat antarabangsa itu.

“Azizulhasni dipelawa melanjutkan pengajian pascasiswazah dengan tajaan Biasiswa Bitara Pasca Siswazah peringkat Sarjana selama dua tahun bernilai RM42,225.00 atau Doktor Falsafah bernilai RM103,700.00.

“Penawaran insentif kecemerlangan itu ditawarkan secara terbuka bermula 1 September 2021 hingga 31 Disember 2024,” katanya dalam kenyataan itu pada Isnin.

Jelas beliau tawaran itu bagi membolehkan Azizulhasni memberi fokus dan tumpuannya meraih pingat emas pertama negara di Olimpik Paris pada 2024.

Dalam kenyataan sama, Azizulhasni yang berjaya mengharumkan nama negara menerusi acara sukan trek di Olimpik Tokyo 2020 itu berkata terharu apabila diraikan pada sesi penghargaan tersebut.