IPOH, 15 Sept: Rakyat di negeri ini dinasihatkan untuk tidak mengambil mudah dan terlalu selesa meskipun ada kelonggaran tertentu diumumkan oleh kerajaan, baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata masih ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, selain terdapat kawasan di negeri ini yang masih di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Nasihat dan saranan itu disampaikan menerusi satu kenyataan media sempena Hari Malaysia yang ke- 58, yang akan disambut esok.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan termasuk pasukan keselamatan dan kesihatan yang terus teguh menabur bakti dalam perang melawan pandemik COVID-19.

“16 September adalah satu tarikh yang amat simbolik dan bersejarah. Pada tarikh ini 58 tahun lalu, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, telah mengisytiharkan pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun mengingatkan kita mengenai pahit getir serta pengorbanan perjuangan pemimpin dan generasi terdahulu untuk melahirkan sebuah negara Malaysia yang merdeka dan bersatu padu.

“Sejak berdekad lamanya, kita telah menempuh pelbagai cabaran yang menguji kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa.

“Meskipun ada pihak yang menjangkakan kerencaman kaum, budaya dan agama di negara ini tidak akan mampu bertahan, kita telah membuktikan bahawaperbezaan itulah yang menjadi tunjang kekuatan kita selama ini,” katanya.

Justeru katanya adalah menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang setia dan cintakan tanah air untuk terus mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemajuan yang dikecapi selama ini.

Kerajaan negeri turut menghargai sumbangan wira-wira negara yang terdiri daripada pesara Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Semoga kesungguhan dan keberanian yang ditunjukkan wira-wira negara ini, dapat dicontohi oleh generasi yang akan datang dan memberi kesedaran kepada kita semua untuk sentiasa mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi,” katanya.

Saarani turut menyeru rakyat di negara ini menguatkan azam dan tekad untuk terus berjuang memerdekakan diri, keluarga dan masyarakat daripada ancaman COVID-19.

“Bagi yang belum menerima suntikan vaksin, saya mohon supaya jangan berlengah. Segeralah mendapatkan vaksin sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau mengunjungi PPV yang menyediakan perkhidmatan secara walk in.

“Jika ada kemusykilan, hubungi mana-mana pejabat kesihatan untuk mendapatkan bantuan. Mereka akan sedia membantu.

“Saya memahami, masih ada rakan-rakan di luar sana yang masih bergelut membina semula kehidupan. Saya dan rakan-rakan dalam kerajaan akan terus berikhtiar untuk mencari jalan agar impak pandemik ini kepada kehidupan rakyat dapat kita tangani sebaik mungkin,” jelasnya lagi.

Ujarnya, ancaman wabak COVID-19 benar-benar mengajar orang ramai untuk selalu bersedia menghadapi keadaan atau situasi luar biasa.

“COVID-19 juga meniup rasa keinsafan bahawa sesukar mana pun ujian yang dihadapi, ia akan mampu diharungi jika setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, terus berpegang erat kepada nilai perpaduan dan kebersamaan.

“Mudah-mudahan, dengan keazaman dan kekuatan tekad kita semua, ujian COVID-19 ini dapat sama-sama kita tempuh dan akhirnya kita akan beroleh kemenangan.Insya-Allah. Selamat Hari Malaysia Ke-58,” katanya.