SUNGAI SIPUT, 30 Julai: Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam (INTAP) Perak, Datuk Zolkafly Harun meninjau keadaan Sungai Pelus di sini yang mengalami hakisan tebing sungai.

Difahamkan hakisan membabitkan peringkat awal dan aliran sungai yang kurang baik.

Dalam tinjauan itu beliau turut menyarankan kepada agensi yang terbabit untuk menyalurkan peruntukan khas kira-kira RM250,000 bagi kerja-kerja pembersihan sungai tersebut.

“Ia melibatkan Sungai Pelus dan ‘slope protection’ atau perlindungan cerun dari Jambatan Pulau Mentimun hingga ke hilir jambatan.

“Di mana ia dapat membantu mengurangkan masalah risiko banjir, hakisan tebing sungai serta meningkatkan kelancaran sistem saliran sungai yang lebih baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.

Turut hadir dalam tinjauan itu antaranya Ketua Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput, Azhar Alias dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Kangsar, Aziz Mohamed.