KUALA KANGSAR, 12 JAN – Pandemik COVID-19 tidak menjadi penghalang kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) untuk membuka pintu kepada pelajar antarabangsa melalui program pendidikan jarak jauh.

Sebagai langkah permulaan tahun ini, USAS telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan University of Science and Technology, Yaman (USTY) bagi program Sarjana  Pengurusan (Masters of Management) dan Sarjana Pengurusan Teknologi Maklumat (Masters of Information Technology Management) secara jarak jauh.

Timbalan Naib Canselor USAS, Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri Wan Yusof berkata, program itu yang dijangka dimulakan tahun ini merupakan program sarjana jarak jauh pertama yang ditawarkan oleh USAS kepada pelajar antarabangsa.

“Meskipun pandemik COVID-19 merubah lanskap dunia pendidikan, menjejaskan kemasukan pelajar antarabangsa, menghadkan kehadiran pelajar secara fizikal serta pembelajaran secara bersemuka, pandemik ini juga membuka peluang baru melalui aplikasi maya.

“Penawaran secara pembelajaran jarak jauh ini (ODL) diharap dapat digunakan sepenuhnya oleh pelajar dari luar negara.

“Tiada lagi sempadan dan mereka boleh mendapatkan ijazah sarjana mereka daripada USAS tanpa meninggalkan kampong halaman mereka,” katanya pada majlis menandatangi Memorandum Perjanjian tersebut yang  diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada mahlis itu, Pihak USTY telah diwakili oleh Dekan Pengajian Jarak Jauh dan Elektroniknya, Dr. Waheeb Abdullah.

Menurut Prof Dr Wan Sabri, program tersebut akan dikendalikan oleh USTY di Yaman, tetapi ijazah Sarjana mereka akan dikeluarkan oleh USAS.

“Saya yakin kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang dan kerjasama dengan universiti luar negara yang lain.  

“Meskipun perjanjian ini merupakan langkah yang kecil bagi USAS dan juga USTY, namun saya percaya ia merupakan langkah penting bagi pembelajaran secara jarak jauh di masa hadapan,” ujarnya.