KUALA KANGSAR, 3 Mei – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menerima RM200,000 daripada Yayasan Pelajar MARA (YPM) bagi pembiayaan program ‘Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahfiz’.

Cek disampaikan Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin kepada Naib Canselor USAS, Tan Sri Dr. Nordin Kardi selepas majlis memandatangani Nota Persefahaman antara kedua-dua pihak di sini, semalam.

Program Fast Track SPM Tahfiz USAS merupakan program tajaan Maybank Islamic, berkonsepkan kelas tuisyen bagi pelajar lepasan tahfiz yang tidak berpeluang untuk menduduki SPM diperingkat sekolah menengah.

Melalui program itu, pelajar lepasan tahfiz ini berpeluang menduduki peperiksaan SPM dalam masa 10 bulan sahaja di USAS.

Menurut Dr Nordin, melalui sistem ‘fast track’ itu, memberi peluang kepada pelajar lepasan tahfiz yang tidak mengikuti pengajian akademik secara formal di sekolah menengah harian kerajaan untuk menduduki peperiksaan SPM.

“Kini USAS Bridging Centre (Pusat Kecemerlangan USAS) yang menjalankan program fast track SPM ini mempunyai 89 pelajar iaitu 69 orang pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan yang datang daripada pelbagai latar belakang termasuk yang kurang berkemampuan.

“Jadi kami amat menghargai tajaan yang diberikan ini di mana kumpulan pertama akan menduduki SPM pada tahun 2021,” katanya.

Sementara itu, Dr Nizar dalam ucapannya berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial YPM dalam bidang pendidikan di seluruh negara.

“Memandangkan betapa pentingnya pendidikan anak bangsa, maka MARA sejak penubuhannya pada tahun 1965 telah berdiri teguh bersama-sama anak syarikat, antaranya YPM yang komited dalam meningkatkan taraf pendidikan kaum bumiputera dalam negara ini, tanpa mengira dimanapun mereka berada meskipun dalam situasi pandemic COVID-19 sekarang.  

“Kita perlu sentiasa bergerak ke hadapan, tanpa berundur sama sekali,” ujarnya.

Beliau berharap usaha itu dapat melahirkan para tahfiz dalam pelbagai bidang di masa akan datang.

Majlis yang sama turut menyaksikan penyerahan cek bernilai RM288,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi program Back to School YPM yang akan dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar dari golongan B40 di 24 parlimen di negeri ini.

Program Back to School YPM ini merupakan program bantuan persekolahan yang dilaksanakan menjelang sesi persekolahan melibatkan pemberian bantuan keperluan persekolahan kepada pelajar dari keluarga B40.

Dijalankan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri, program ini memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar seluruh negera.

Hingga kini, jumlah keseluruhan CSR Pendidikan YPM di Perak bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM631,550 kepada lebih dari 3,000 orang pelajar menengah dan rendah.